Friday, November 30, 2018

BIODATA PENULIS



Nama yang diberi ialah Rubiatul Addawiyah binti Zainir. Saya adalah anak kedua dari empat orang adik-beradik perempuan. Saya dilahirkan di Pulau Pinang tetapi berpeluang membesar di Klang, Selangor dan juga di Pulau Pinang.

Pendidikan awal saya bermula di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Utara (SKPU). Kemudian saya menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah (STAR Klang) dengan mengambil subjek Bahasa Arab sebagai subjek tambahan.

Ditakdirkan, Ayah saya berpeluang berpindah tugas ke Pulau Pinang semasa saya di Tingkatan 2, maka saya turut menyambung persekolahan di sana untuk setahun. Memandangkan keputusan peperiksaan saya memberangsangkan, saya memohon untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 2 (TSP2) dalam bidang Pengajian Makanan.

Atas nasihat dan pandangan Umi Ayah, saya seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia KL (UTMKL) dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa). Tiga tahun di sana, niat untuk menjadi pensyarah itu makin menggunung tinggi. Kemudian saya menyambung lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi, masih di universiti yang sama, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam bidang Kejuruteraan (Elektrik).

Alhamdulillah, berkat doa dari Umi Ayah, saya tamat pelajaran dengan CGPA 3.30. Atas minat yang terlalu tinggi dalam menimba ilmu pengetahuan, saya menyambung lagi pelajaran dalam peringkat Sarjana Kejuruteraan (Elektrik).

Dalam pembelajaran Sarjana, saya berpeluang menambahbaik panel yang mengkaji keadaan arus yang akan diukur dalam sesuatu kajian yang melibatkan arus dan voltan tinggi. Arus ini kemudian akan dianalisis berdasarkan keadaan pengkaji mahukan menggunakan panel yang dihasilkan dengan LabVIEW ini. Panel ini sangat mesra pengguna kerana ianya bukan melibatkan 'coding' seperti sesetengah 'programming' yang lain. Ia adalah panel visual yang memudahkan para pengguna. 

Pembelajaran Sarjana saya tamat semasa saya baru selesai melahirkan anak kedua. Saya hadir ke konvokesyen dalam usia pantang sebulan. Alhamdulillah, sepanjang proses pembelajaran, saya ditemani dengan semangat dari penyelia dan keluarga menyebabkan saya berusaha untuk menghabiskan dalam masa yang ditetapkan.

Saya berkahwin semasa dalam tahun pertama pengajian Sarjana dengan seorang guru Sains yang berkaliber bernama Kharulazuan bin Abdullah. Kami kemudian menetap di Kuantan. Beliau serta keluarga kami banyak membantu dalam saya menamatkan pembelajaran apabila berulang alik ke Skudai untuk berjumpa dan berbincang dengan penyelia. 

Perjuangan menunutut ilmu bersama anak-anak dan suami mambantu mematangkan dan memperbetulkan niat saya untuk masa depan bersama yang lebih terjamin. 

Maka, saya perbaharui niat apabila melihat anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu, saya mula mencari peluang untuk bertugas dan berkerjaya dari rumah. Dengan keizinan suami dan semangat yang beliau dorongkan, saya mula bertugas dari rumah dengan meniaga secara online, di samping membuat pencuci mulut yang dihantar ke vendor-vendor di Kuantan. 

Tahun 2016 menyaksikan saya berusaha menaikkan 'personal branding' dalam bidang online dan offline. Alhamdulillah, bertemankan tiga orang anak MHD kini, kami semakin serasi dengan jadual baru seorang ibu yang berkerjaya dari rumah ini.

Tahun 2016, saya melihat peluang untuk bernaung dan mempelajari selok belok sebagai 'home tutor' di bawah CERDIK Educenter. Berikutan CERDIK baru menapak di Pantai Timur buat masa itu dengan jenama 'home tuition', maka pembelajaran secara dua hala antara pelajar dan guru makin mendapat tempat di hati ibubapa di Kuantan pada masa itu.

Nisbah 1:1 itu menjadikan fokus kepada seseorang pelajar itu agak berbeza dengan fokus yang diberikan guru di sekolah. Selain itu, kami turut didedahkan dengan cara pembelajaran mengikut format terkini peperiksaan, selari dengan dasar pendidikan negara.
Kami turut diberikan 'training' dari masa ke masa oleh Pengetua CERDIK sendiri.

InsyaAllah, saya berniat untuk mewujudkan satu pusat 'home tuition' di bawah CERDIK sebagai perantis CERDIK, di kawasan perumahan saya. Mohon doakannya bersama.  

Tiada apa yang mustahil jika kita pasakkan niat dan berusaha ke arahnya dengan matlamat yang jelas. InsyaAllah, Allah akan bantu lorongkan dengan niat yang baik.

Salam perkenalan dari saya.☺


Rubiatul Addawiyah aka Ummi MHD