Daripada sekolah rendah lagi, antara cita-cita yang saya idamkan ialah menjadi guru. Bagi saya kerjaya guru ini sangat mulia kerana mereka berkongsi ilmu pengetahuan dan mengajarkan pula kepada pelajar yang sama sekali tiada pertalian darah itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjadi manusia bermanfaat.
Saya berpeluang dididik oleh guru-guru yang profesional dan tak lokek dalam memberi ilmu. Usia saya banyak dihabiskan dengan belajar erti kehidupan melalui guru-guru ini. Tak lupa juga pada guru pertama saya yang langsung tak pernah berhenti menyokong apa jua keadaan pelajarnya ini. Dialah Umi saya. Seorang ibu kental yang selalu mendorong untuk saya lebih bertanggungjawab terhadap hidup saya.
Maka, atas minat yang mendalam dalam bidang perguruan, saya cuba mencari satu pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah. Dalam masa yang sama, saya tekad mahu membesarkan anak-anak dengan air tangan saya sendiri. Saya berasa cemburu melihat kasih sayang anak-anak saya tertumpah pada orang lain.
Atas asbab ini, saya selalu tercari-cari iklan dalam media sosial berkenaan kerjaya dari rumah. Dengan keadaan kewangan yang cukup terhad menjadikan saya lebih terarah untuk mencari pekerjaan dalam masa terdekat. Malah jika mampu, saya mahu menjadikan minat itu sebagai satu kerjaya dengan melakukannya dari rumah.
Saya memang mengikuti cerita kawan-kawan yang sama pengajian di universiti dahulu melalui media sosial. Asyik lalu lalang iklan mencari tutor sambilan di dinding muka buku saya oleh seorang rakan yang waktu itu sedang menyiapkan tesis PhDnya berkaitan penilaian pelajar.
Saya perlukan masa yang fleksibel untuk menguruskan rumahtangga dan keluarga tanpa sebarang tekanan, jadi saya cuba menghubungi pusat tuisyen yang beroperasi di Pulau Pinang, dikenali sebagai CERDIK Educenter. Pengasasnya merupakan sahabat saya yang sedang menyiapkan tesis PhDnya ketika itu, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri.
Bukan sedikit masa saya mengenali peribadi sahabat merangkap Pengetua CERDIK kami ini. Daripada Diploma sehinggalah ke peringkat Sarjana, saya maklum akan personaliti sahabat ini. Dalam diam-diam, saya sangat mengagumi semangat dan tekad yang beliau ada. Beliau pernah menjadi Pengerusi Kolej yang saya diami dan boleh membantu mengawal operasi kolej bersama anak-anak buahnya. Beliau bukan calang-calang orang!
Mereka mencari tutor-tutor yang berpotensi bagi mengembangkan lagi penjenamaan home tuisyen mereka ke seluruh negara.
Peluang sudah ada, tinggal saja saya berani atau tidak! Saya risik-risik sehinggalah berjaya melepasi temuduga yang dijalankan. Oh, sebelum itu CERDIK juga ada membuka peluang pekerjaan bagi jawatan Pengurus untuk cawangan Pantai Timur. Saya beranikan diri mencuba. Namun ditakdirkan, itu bukan rezeki saya.
Bagi saya, untuk memulakan sesuatu, kita boleh cuba bermula dari peringkat bawah terlebih dahulu. Kita belajar selok belok sebagai seorang home tutor sebelum ada perangkaan untuk menjadi home tutor yang lebih serius dengan membuka cawangan sendiri.
Berikut merupakan cara-cara saya memulakan bidang home tutor ini:
1) hantar resume kepada pihak pusat tuisyen yang anda minat
2) tunggu sesi untuk dipanggil temuduga
3) jika berjaya, kenal pasti subjek apa yang akan diajar atau subjek yang anda minat
untuk mengajar
4) mahirkan diri dengan subjek tersebut
5) cari bahan rujukan untuk sesi PnP
No comments:
Post a Comment