Sunday, December 2, 2018

PELUANG SEBAGAI HOME TUTOR

1) FLEKSIBILITI MASA

"Masa itu emas". 

Peribahasa ini merupakan titik tolak untuk ramai home tutor bergerak secara persendirian. Mereka tidak mahu terikat dengan masa.

Hukum fleksibiliti masa yang diperlukan ini tidak sama antara setiap individu berikutan taraf sosioekonomi yang wujud pada masa kini.

Jika tanggungan yang ada melebihi taraf sosioekonomi sesebuah keluarga, maka ketua keluarga sebagai tunggak perlu ada 'back up plan' bagi mengharmonikan institusi kekeluargaan.

Namun kesibukan yang bakal ditanggung kadang kala akan mengakibatkan pengabaian kepada ahli keluarga. Justeru, ramai yang mengambil inisiatif untuk bergerak dan bekerja sendiri mengikut kesesuaian masa yang perlu dibahagikan antara keluarga dan kerjaya.

Natijahnya, keluarga yang harmoni dan sejahtera akan menyumbang kepada pembentukan diri serta sahsiah yang lebih baik. 


PANDUAN ASAS

Entri-entri saya sebelum ini telah menerangkan serba sedikit secara umum cara-cara untuk menjadi home tutor yang bernaung di bawah satu pusat home tuisyen. 

Secara khususnya, saya senaraikan panduan asas yang diperlukan untuk menjadi home tutor. Home tutor boleh bergerak secara sambilan atau sepenuh masa, bergantung kepada pemilihan dan tanggungjawab persendirian.

Susunan fleksibiliti masa itu ada pada diri sendiri. Saya boleh mengatur jadual saya dan pelajar mengikut masa yang ditetapkan. Berikutan itulah saya memilih home tutor untuk menjana pendapatan dari rumah.

Berikut saya sasarkan panduan asas untuk menjadi home tutor.

1) Pendidikan

Saya merupakan graduan Sarjana Kejuruteraan Elektrik. Maka, saya gunakan kelebihan ini sebagai tambah nilai untuk saya mengajar pelajar dalam subjek Matematik dan English. Maklum bahawa kami banyak belajar dalam Fizik dan Matematik. Justeru saya aplikasikan pengetahuan dan ilmu yang ada untuk mengajar dalam dua subjek ini.

2) Pengalaman

Saya pernah berpengalaman mengajar pelajar Sekolah KAFA semasa tamat peperiksaan SPM. Maka saya menggunakan pengalaman ini sebagai batu loncatan dalam saya memahami dan mengawal situasi semasa PnP berlangsung. Pelajar paling kecil saya sekarang berumur 7 tahun. 

Pada umur seawal usia baru masuk ke alam sekolah rendah, fokus pelajar sangat berkurangan. Jadi, sebagai seorang home tutor merangkap seorang guru, saya kena bijak memainkan peranan dengan memanipulasi keadaan kanak-kanak yang suka bermain lebih daripada belajar.

3) Pengkhususan Pelajar

Sekalipun pelajar merupakan pelajar bermasalah, sebagai home tutor, kita bertanggungjawab membantu menyerlahkan potensi pelajar supaya dia bukan sahaja mampu menjawab soalan peperiksaan yang diberikan, sebaliknya dia mampu untuk membantu dirinya sendiri.

Kata-kata pujian bukan hanya membantu, bahkan menaikkan semangat mereka untuk lebih berarah tuju dalam menentukan masa depan mereka sendiri.

4) Kepakaran Subjek

Sebaiknya, kita mengajar subjek kepakaran kita sendiri. Ianya lebih memudahkan kita untuk fokus dalam membantu pelajar mencapai gred lebih baik dari sebelumnya. 

Saturday, December 1, 2018

KREDIBILITI

Home tutor juga merupakan seorang guru.

Oleh kerana ianya melibatkan profesion perguruan, maka tugas menjaga kredibiliti itu menjadi tugas tetapnya sepanjang dia bergelar home tutor dan mengendalikan tuisyen.

Ada yang perlu diambil kira sepanjang sesi PnP. Saya senaraikan 5 poin utama yang selalu dipersoalkan oleh ibubapa berkenaan kredibiliti seorang home tutor.

1) Tahap Pendidikan.

- Berikutan home tuisyen melibatkan pembelajaran tidak formal seperti pada sesi persekolahan, ada juga ibubapa yang akan menemuduga tutor tentang tahap pendidikannya. 

Home tutor wajib bersedia dan maklum bahawa setiap ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Oleh kerana itu, mereka sanggup menghabiskan wang untuk membayar home tutor supaya dapat mengajar anak-anak mereka dengan lebih fokus dan santai.

Santai di sini membawa maksud tidak menekan anak-anak dengan latihan kerja rumah yang banyak, tetapi lebih agresif kepada teknik-teknik untuk kefahaman subjek. 

Namun tak dinafikan ada juga ibubapa yang mahu mengisi jadual kosong anak-anak dengan aktiviti berfaedah, maka mereka memilih home tuisyen sebagai salah satu caranya.

2) Masa

- Masa yang diperuntukkan untuk belajar dengan tutor sangat terhad. Justeru, tepati masa. Kebanyakan ibubapa yang melanggan home tuisyen ini adalah ibubapa yang sibuk bekerja. Maka, masa itu emas. Jika tidak berpeluang menghadirkan diri, beritahu pada ibubapa terlebih awal supaya tiada unsur-unsur tidak puas hati di belakang hari. 

3) Penampilan diri

- Pandangan pertama itu sangat penting dalam kita mempromosikan diri sebagai seorang guru tidak formal. Gunakan pakaian yang selesa untuk kita bergerak dan mengajar. 

- Terbitkan gaya formaliti sebagai seorang tenaga pengajar yang berkualiti dan berhemah.

4) Subjek

- Mahirkan diri dengan subjek yang akan diajar. Cari buku-buku rujukan yang diperlukan sebagai bahan tambahan dalam sesi PnP. 

- Ketahui teknik dan kemahiran yang boleh diaplikasikan dengan tahap pemahaman pelajar.

5) Fokus

- Pelbagaikan cara mengajar kerana pelajar tidak sama personalitinya. 

- Ada jenis visual, ada jenis auditori dan ada juga jenis kinestatik. Kenali pelajar anda. Fokus juga akan berubah berdasarkan pemahaman dan tahap pelajar. 



TERJEBAK!


Tak lama kemudian, saya mendapat peluang untuk mengajar seorang pelajar. Para tutor akan diberitahu berkenaan maklumat pelajar dan ibubapa pelajar. Sesi suaikenal pun bermula selepas itu.

Saya memulakan tugas pertama sebagai home tutor pada seorang pelajar perempuan Darjah 4. Manis wajahnya tetapi agak pemalu orangnya.

Pertemuan pertama bersama ibubapa pelajar tersebut meyakinkan saya bahawa pelajar ini seorang pelajar introvert. Beliau mempunyai keyakinan diri bahawa beliau boleh berjaya tetapi atas sikap pendiam yang beliau hadapi, membuatkan ibubapanya mencari alternatif untuk anaknya belajar secara perseorangan dengan guru.

"Entahlah Cikgu, bila balik rumah, tanya faham tak Cikgu ajar apa kat sekolah tadi? Dia kata faham. Tapi bila buat latihan, macam tak faham". 

"Tak mengapa, Puan. Saya akan bantu sewajarnya". Itu tekad saya. 

Saya juga bukanlah seorang pelajar cemerlang pada sesi persekolahan dahulu. Saya fahami perasaan berharap ibubapa pelajar tersebut. Saya juga amat memahami dilema tekanan yang dihadapi oleh pelajar itu kerana saya pernah berada di tempat dia.

Kami berjumpa empat pasang mata dengan misi mahu membantu pelajar tersebut di sebuah perpustakaan awam di Kuantan. Sesi perkenalan pun dimulakan pada sesi PnP yang pertama ini.

Seperti biasa, saya akan menyediakan sebuah buku khas untuk mencatat aktiviti penting sepanjang hari, maka saya aplikasikan ianya ke dalam tugas home tuisyen saya ini. Setiap detik penting akan saya catat di dalam buku khas ini yang bertanggungjawab sebagai penjejak sesi pembelajaran dan pengajaran yang berlaku. 

Malahan, untuk mengambil hati pelajar, makanan kegemaran, warna kegemaran dan hobi mereka juga saya catitkan sebagai panduan dalam memenangi hati. Terkadang, poin-poin seperti ini saya gunakan untuk mengekalkan fokus mereka dalam sesi PnP.

Apabila bertugas bersama anak-anak yang sedang membesar, kita sebagai yang lebih tua perlu memahami karakter pelajar terbabit. Inilah yang menguntungkan apabila belajar secara 1:1. Tugas kami selain mengajar adalah mengenal pasti kebolehan pelajar melalui teori visual, auditori dan kinestatik. Kemudian boleh diaplikasikan teori ini ke dalam sesi PnP. Sambil mengajar, saya turut belajar. Menarik sungguh!

Saya terjebak dengan home tutor dan saya jatuh cinta lagi dengan bidang perguruan!

CARI DAN BINA PELUANG

"Alhamdulillah, niat yang baik Allah akan bantu". Terngiang-ngiang pesanan Umi saya di telinga. 

Saya berjaya dengan sesi temuduga yang dijalankan oleh Pengurus cawangan Pantai Timur. Alhamdulillah. Syukur pada Allah, dengan izinNya, saya berpeluang menjadi seorang pendidik dengan cara yang lain.

Sebelum memulakan tugas, kami diberi penerangan ringkas berkenaan cara-cara kami mahu mendapatkan pelanggan melalui pusat tuisyen berkenaan. Kami dikumpulkan dalam satu kumpulan WhatsApp untuk pengumpulan info yang berkaitan.

Sudah mencari peluang? Maka kita perlu gunakan peluang sebaiknya dengan menjadi tutor kesayangan para pelajar.

Pusat tuisyen CERDIK ini menawarkan kami untuk berhubung terus dengan ibubapa pelajar. Mereka yang bertanggungjawab mengurus dan mencari prospek di kawasan berdekatan tutor-tutor mereka. Tugas kami hanya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang akan digunakan untuk membantu dan mengajar para pelajar kami.

Sesi pengenalan bersama ibubapa pelajar perlu dilakukan sebaik sahaja kami menerima tugasebagai home tutor. Di sini, satu perhubungan antara pusat tuisyen, tutor dan ibubapa juga telah terbina.

Sebagai seorang home tutor yang bergerak di bawah satu pusat tuisyen, maka saya bertanggungjawab menjaga kredibiliti personal dan juga nama pusat tuisyen saya.

TERDESAK ATAU MENDESAK?


Apabila kita terdesak untuk melakukan sesuatu, maka akal fikiran kita akan kreatif mencari jawapan dan penyelesaiannya.

Atas desakan dan tekad yang terpasak dalam diri, saya mula menjadikan home tutor sebagai satu kerjaya. Dengan minat yang tinggi, saya yakin saya mampu membantu pelajar bukan dengan menjadikan A untuk semua mata pelajaran, tetapi sekurang-kurangnya menukarkan gred yang tidak berapa baik menjadi sebaliknya. Itu tugas saya.

Rata-rata pelajar home tuisyen saya merupakan pelajar yang berpotensi, tinggal saja saya sebagai tenaga pengajar menggilap potensi mereka dan memperbetulkan kefahaman mereka bahawa belajar bukan untuk peperiksaan semata-mata. Tetapi ianya lebih daripada itu! 

Home tuisyen merupakan satu proses pembelajaran melibatkan seorang guru dengan seorang pelajar. Ianya juga boleh dilakukan dengan sekumpulan pelajar, tetapi lebih fokus daripada pembelajaran di sekolah berikutan suasananya yang eksklusif dan privasi. Ramai ibubapa yang sanggup berhabisan demi membantu anak-anak mereka dengan menyediakan home tuisyen. 

Silibus yang diajar pula mesti mengikut kurikulum standard persekolahan. Cuma cara belajar yang berbeza. Di sini, penting untuk home tutor memahami personaliti dan tahap pelajar masing-masing.
Di CERDIK, kami diajar untuk mengkaji personaliti pelajar terlebih dahulu sama ada pelajar itu seorang visual, auditori atau kinestatik. Teori VAK ini boleh diketahui pada sesi pertama PnP bersama pelajar. 

Atas dasar ini, para home tutor digalakkan menceburi bidang ini bersama pusat tuisyen yang aktif dalam melaksanakan PnP mengikut kurikulum terkini dan memenuhi kehendak dasar pendidikan abad ke-21. 

Maka dengan itu, kerjaya sebagai home tutor ini adalah satu peluang baik untuk para graduan memulakan langkah pertama berkongsi ilmu untuk adik-adik peringkat persekolahan rendah dan menengah. Mahirkan diri dengan subjek yang dipelajari.

Tiada istilah 'tanam anggur' selepas tamat pelajaran jika kita mahu melakukan sesuatu!


MINAT ATAU KERJAYA?


Daripada sekolah rendah lagi, antara cita-cita yang saya idamkan ialah menjadi guru. Bagi saya kerjaya guru ini sangat mulia kerana mereka berkongsi ilmu pengetahuan dan mengajarkan pula kepada pelajar yang sama sekali tiada pertalian darah itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjadi manusia bermanfaat. 

Saya berpeluang dididik oleh guru-guru yang profesional dan tak lokek dalam memberi ilmu. Usia saya banyak dihabiskan dengan belajar erti kehidupan melalui guru-guru ini. Tak lupa juga pada guru pertama saya yang langsung tak pernah berhenti menyokong apa jua keadaan pelajarnya ini. Dialah Umi saya. Seorang ibu kental yang selalu mendorong untuk saya lebih bertanggungjawab terhadap hidup saya.

Maka, atas minat yang mendalam dalam bidang perguruan, saya cuba mencari satu pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah. Dalam masa yang sama, saya tekad mahu membesarkan anak-anak dengan air tangan saya sendiri. Saya berasa cemburu melihat kasih sayang anak-anak saya tertumpah pada orang lain. 

Atas asbab ini, saya selalu tercari-cari iklan dalam media sosial berkenaan kerjaya dari rumah. Dengan keadaan kewangan yang cukup terhad menjadikan saya lebih terarah untuk mencari pekerjaan dalam masa terdekat. Malah jika mampu, saya mahu menjadikan minat itu sebagai satu kerjaya dengan melakukannya dari rumah.

Saya memang mengikuti cerita kawan-kawan yang sama pengajian di universiti dahulu melalui media sosial.  Asyik lalu lalang iklan mencari tutor sambilan di dinding muka buku saya oleh seorang rakan yang waktu itu sedang menyiapkan tesis PhDnya berkaitan penilaian pelajar.

Saya perlukan masa yang fleksibel untuk menguruskan rumahtangga dan keluarga tanpa sebarang tekanan, jadi saya cuba menghubungi pusat tuisyen yang beroperasi di Pulau Pinang, dikenali sebagai CERDIK Educenter. Pengasasnya merupakan sahabat saya yang sedang menyiapkan tesis PhDnya ketika itu, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri.

Bukan sedikit masa saya mengenali peribadi sahabat merangkap Pengetua CERDIK kami ini. Daripada Diploma sehinggalah ke peringkat Sarjana, saya maklum akan personaliti sahabat ini. Dalam diam-diam, saya sangat mengagumi semangat dan tekad yang beliau ada. Beliau pernah menjadi Pengerusi Kolej yang saya diami dan boleh membantu mengawal operasi kolej bersama anak-anak buahnya. Beliau bukan calang-calang orang! 

Mereka mencari tutor-tutor yang berpotensi bagi mengembangkan lagi penjenamaan home tuisyen mereka ke seluruh negara. 

Peluang sudah ada, tinggal saja saya berani atau tidak! Saya risik-risik sehinggalah berjaya melepasi temuduga yang dijalankan. Oh, sebelum itu CERDIK juga ada membuka peluang pekerjaan bagi jawatan Pengurus untuk cawangan Pantai Timur. Saya beranikan diri mencuba. Namun ditakdirkan, itu bukan rezeki saya. 

Bagi saya, untuk memulakan sesuatu, kita boleh cuba bermula dari peringkat bawah terlebih dahulu. Kita belajar selok belok sebagai seorang home tutor sebelum ada perangkaan untuk menjadi home tutor yang lebih serius dengan membuka cawangan sendiri.

Berikut merupakan cara-cara saya memulakan bidang home tutor ini:

1) hantar resume kepada pihak pusat tuisyen yang anda minat

2) tunggu sesi untuk dipanggil temuduga

3) jika berjaya, kenal pasti subjek apa yang akan diajar atau subjek yang anda minat 
     untuk mengajar

4) mahirkan diri dengan subjek tersebut

5) cari bahan rujukan untuk sesi PnP